Tuesday, August 12, 2008

Mengapa Sukar Mengingati Pelajaran?

1) Tidak faham ataupun kurang faham dengan mata pelajaran tertentu.

Jangan harapkan 100% dari hafalan semata-mata. Kefahaman itu kunci utama di dalam kita menuntut ilmu. Jangan malu bertanya kepada guru-guru ataupun teman-teman. Jangan pula menganggap bertanya itu sebagai 'kurang pandai'. Kalau kita perhatikan di mana-mana sekolah pun, pelajar yang bijak yang akan rajin bertanya pada gurunya. Ingat, tiada istilah malu di dalam menuntut ilmu.

2) Distraction ataupun gangguan di tempat belajar.

Suasana tempat belajar memainkan peranan yang amat penting. Keselesaan juga perlu agar anda boleh fokus di dalam pelajaran. Kalau mengulangkaji di rumah, cuba elakkan bunyi-bunyi yang bising yang boleh mengganggu konsentrasi anda. Dato Dr Mohd Fadzilah Kamsah melarang para pelajar belajar dengan di iringi oleh bunyi muzik kerana ia dapat merosakkan pemikiran.

3) Kesihatan mental dan fizikal.

Pepatah arab ada mengatakan, minda yang sihat datang dari badan yang sihat. Kesihatan itu perlu seimbang di antara mental dan fizikal barulah anda dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran. Elakkan fikiran negatif yang dapat merangsang otak anda untuk mudah 'stress'. Jaga permakanan dan banyakkan makanan yang baik untuk kesihatan mental seperti kismis, madu, kurma, badam dan sebagainya.

4) Tiada kemahuan dan motivasi untuk belajar.

Tanpa kemahuan maka tiada lah jalan bagi anda untuk menuju kecemerlangan di dalam pelajaran. Anda kena ada kemahuan untuk belajar, baru lah semangat dan motivasi itu akan tumbuh di dalam diri. Ini akan merangsang anda untuk belajar lebih gigih lagi InsyaAllah.

5) Hati tidak tenang/tidak bersih.

Ini antara salah satu aspek utama yang jarang di titik beratkan oleh mana-mana pelajar. Hati yang kotor akan menyebabkan kerisauan, malas, tidak bersemangat dan sebagainya. Solat lima waktu hendaklah di jaga sebaiknya. Membaca Al-Quran dan berdoa kepadaNYA sebelum dan sesudah belajar. Seboleh-bolehnya ambil lah air wudhu' sebelum memulakan pelajaran. Dan jauhi dari segala laranganNYA.

6) Tiada keberkatan.

Hubungan dengan ibu bapa dan guru yang kurang baik. Pohonlah kemaafan selalu dari ibu bapa dan guru walaupun anda tidak pernah melakukan sebarang kesilapan terhadap mereka. Jangan malu untuk meminta mereka mendoakan kejayaan anda. Ingatlah, doa ibu bapa kepada anak (dan sebaliknya) InsyaAllah akan di kabul kan oleh Allah S.w.t.

1 comment:

Unknown said...

Well well well......