Tuesday, April 28, 2009

Solat dan Syukur

Assalamu'alaikum..

Alhamdulillah, baru-baru ni banyak rezeki yang Allah kurniakan pada saya. Rezeki ilmu, pekerjaan, kawan baru, peluang baru dan bermacam-macam lagi. Saya tidak pernah menghad kan definisi rezeki itu kepada wang ringgit semata-mata. Andai kata kekurangan wang, saya tidak pernah menyebutnya dengan kekurangan rezeki sedang kan pada waktu yang sama, kita di kurniakan ilmu baru, kawan baru, pertolongan saat kesusahan dan pelbagai lagi jenis rezeki.

Di entry yang lepas, saya ada menyentuh tentang sujud syukur. Ya..syukur itu bukan saja kita zahirkan dengan perkataan tetapi juga dengan perbuatan dan keikhlasan. Kalimah Alhamdulillah itu bukan setakat di mulut saja tetapi juga di dalam hati. Kalimah syukur itu perlu kita lafazkan dengan penuh keinsafan. Betapa banyak dosa yang kita telah lakukan di dunia ini namun Allah Maha Pemurah masih lagi melimpahkan kita dengan rezekiNYA yang melimpah ruah. Tidakkah itu menginsafkan kita?

Sahabat baik saya pernah berkata, menunaikan solat wajib lima waktu itu juga melambangkan rasa syukur kita kepada Tuhan. Cuba kita lihat apa yang kita miliki pada waktu ini, sebuah keluarga, rumah tempat berteduh dari hujan dan panas, kenderaan yang dapat membawa kita kesana kemari, pakaian yang cukup untuk menutup aurat, makan minum kita, ilmu yang kita perolehi, segala kebaikan, wang ringgit yang kita terima, kasih sayang, kesihatan dan bermacam-macam lagi. Semua itu Allah kurniakan pada kita tanpa meminta apa-apa balasan pun. Yang wajib pada kita hanyalah Solat lima waktu, puasa cuma di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan naik haji bagi yang mampu. Itu sahaja. Namun, bak kata orang, perkara baik itulah juga yang berat bagi kita sedangkan yang sebaliknya menjadi ringan. Wallahu a'lam.

Apabila saya memikirkan semua rezeki yang saya terima, terasa seakan-akan diri ini tidak layak menerimanya. Saya terasa ibadah saya tidak sempurna. Tapi Allah itu tetap Maha Pengampun dan Penyayang. Dia sentiasa menerima taubat dari hamba-hambaNYA. Sentiasa menjawab permintaan makhlukNYA. Oleh itu, sama-sama lah kita saling mengingati antara satu dengan yang lain. Tunaikan lah kewajipan kita. Jagalah Solat lima waktu. Jauhilah segala kejahatan dan hasad dengki.

Solat itu tiang agama. Siapa yang mendirikannya, maka dia telah mendirikan agamanya. Siapa yang meninggalkannya maka dia telah merobohkan agamanya.

Wallahu A'lam.

1 comment:

DrCinta said...

Salam.

Alhamdulillah.
Perbanyakkan bersyukur.
Bersyukurlah dengan nikmat yg kita terima dan bersabarlah dengan cubaan/dugaan.

Kemanisan iman akan terasa di akhirnya.

Regards.